Wind Cave atau Gua Angin terletak di daerah Bau (disebut baok), Kuching, dengan jaraknya daripada bandar utama Kuching kira kira 45 minit perjalanan memandu dan juga bersebelahan dengan Sungai Sarawak.
Pekan Bau pula terletak dalam perjalanan ke arah pekan Serikin di sempadan Sarawak-Indonesia, jadi sesiapa yang dalam perjalanan (atau baru pulang) ke Serikin (dengan syarat masih belum letih berjalan) boleh singgah di Wind Cave ini. Kawasan Bau kaya dengan sumber batu kapur asli dan oleh itu banyak gua yang terhasil dan kawasan lingkaran gua tersebut diberi nama Bau Formation (Formasi Bau).
Yang menariknya, gua di kawasan ini dahulunya dihuni oleh manusia pada zaman dahulu kala di mana sumber aliran air boleh ditemui di dalam gua ini.
Menurut sejarah, Wind Cave mendapat nama tersebut kerana terowong di dalam gua tersebut menjadi laluan angin sepoi sepoi bahasa yang keluar masuk dari satu pintu masuk gua ke pintu masuk yang lain (Tapi bila dah sampai ke tengah tengah gua tu, sebenarnya berpeluh juga).
Terdapat beberapa pintu masuk utama di Wind Cave, walau bagaimanapun salah satu entrance di sebelah selatan gua, iaitu bersebelahan dengan Sungai Sarawak ditutup buat masa ini. Ini kerana batu yang menampung jambatan kayu yang merentasi gua telah runtuh dan merosakkan struktur jambatan tersebut.
Jika hendak masuk ke dalam gua ini, jangan lupa untuk membawa lampu suluh kerana di dalam amat gelap, sama ada lampu suluh sendiri atau boleh disewa dengan kadar RM3. Bayaran masuk pula ialah RM3 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak kanak. Anda juga boleh datang dalam kumpulan 5 orang dimana bayaran untuk satu kumpulan ialah RM10 (RM2 seorang). Sesiapa yang datang seorang atau berdua kena berani kerana jika tidak anda tidak akan berani masuk.
Formasi stalagmit, stalagtit dan formasi batu kapur yang lain di dalam Wind Cave dikatakan terhasil sejak 60 juta tahun yang lalu. Malah ada yang menyerupai seperti kepala buaya dan juga rangka buaya!
Disepanjang laluan gua tersebut, anda juga akan dihidangkan dengan bunyi cicitan dan terbangan kelawar yang menghuni gua tersebut. Kadang kadang tu, rasa seram pun ada.
Mungkin di sinilah tempatnya orang zaman purba kala beradu?
Setelah penat berjalan dan mahukan rehat, boleh bersantai di Baruk Shelter atau pondok Baruk yang dijaga rapi.
Anda juga boleh mandi di Sungai Sarawak yang berhampiran gua. Airnya agak deras tetapi cetek dan selamat untuk mandi.
No comments:
Post a Comment