Pantai Pasir Pandak
Untuk kali ini, saya ingin mengulas sedikit tentang salah satu tempat tumpuan dan riadah penduduk di sekitar Kuching ini iaitu Pantai Pasir Pandak. Kalau disebut Pantai Pasir Pandak, sekitar penduduk Kuching atau yang telah sampai ke tempat ini pasti sudah mengetahui lokasi pantai tersebut. Tapi, mungkin tidak bagi orang yang berada di luar Bandaraya Kuching.
Pantai ini adalah pantai awam iaitu dalam kategori pantai bebas daripada mana-mana pegangan organisasi kerana ianya terletak di dalam satu kampung iaitu Kampung Pasir Pandak. Terletak lebih kurang 30km dari Bandaraya Kuching, perjalanan menuju ke Santubong, tidaklah terlalu jauh untuk sampai ke sini. Pantai ini bertentangan dengan Laut China Selatan dan berlatarbelakangkan gunung lagenda negeri Sarawak iaitu Gunung Santubong semestinya memberi satu panorama yang indah bagi pengunjungnya. Tidak jauh daripada pantai itu juga terdapat sebuah pulau yang dipanggil Pulau Kerak seperti yang diceritakan dalam cerita lagenda Puteri Santubong.
Pantai Pasir Pandak tidaklah berapa panjang pantainya, lebih kurang 400 meter hingga 600 meter panjang. Pantai yang bersih dan putih, namun agak kotor pada hujung minggu akibat daripada kehadiran orang ramai yang meningkat pada hari-hari tersebut. Sekali-sekala ada organisasi yang membantu untuk membersihkan pantai ini, terdapat juga penduduk sekitar yang prihatin membantu untuk membuang sampah sarap yang terdapat di pantai ini.
Pantai ini akan dibanjiri orang ramai pada setiap hujung minggu. Aktiviti-aktiviti riadah dan santai sering kali dijalankan dipantai ini oleh organisasi awam dan swasta kerana lokasi pantai yang strategik dan hampir dengan bandaraya Kuching. Pada hujung minggu, pantai ini juga akan dipenuhi oleh para peniaga yang akan mendirikan khemah untuk menjual makanan dan minuman khas untuk pengunjung yang beriadah di pantai tersebut.
Pantai Pasir Pandak kini akan melalui proses pembangunan kerana projek menaiktaraf pantai telah giat dijalankan dan terdapat beberapa bangunan kedai telah didirikan berhampiran dengan pantai ini. Sedikit masa lagi pantai ini akan menjadi salah satu destinasi pelancongan di Kuching dengan adanya kawasan perkelahan, deretan kedai yang sempurna dan kemudahan yang lebih baik bagi pengujung yang datang ke pantai ini akan disediakan sedikit masa lagi. Dengan adanya prasarana yang baik, Pantai Pasir Pandak akan terus menjadi tumpuan pengunjung sama ada dari Kuching mahupun dari luar bandaraya Kuching.
memang cantik pantai ni..
ReplyDeletebaru pergi bulan lepas