Saturday, 23 June 2012

Dakwah Nabi Nuh as


Assamualaikum sahabat-sahabat semua,
Semalam Al-Hikmah ada di Masjid Sri Petaling untuk mendengar bayan nasihatMaulana Tariq Jameel. Sebenarnya semalam adalah majlis untuk para Ulama’ dan ustaz tapi Al-Hikmah ada di sana sebab khidmat bawa ustaz-ustaz surau dan madrasah Al-Hikmah ke majlis tersebut. Maka dapatlah Al-Hikmah yang daif ini duduk bersama para ulama. Terasa kerdil rasanya dikelilingi para ulama’.
Nak ceritakan seluruh bayan Maulana di sini rasanya tak mampu tapi hanya sedikit fikir untuk kita semua. Maulana nasihati kita seluruh umat islam, mukmin untuk mencontohi Nabi Nuh a.s. Mengapa? Baca ayat Al-Quran ini.
قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلاً وَنَهَاراً
Maksudnya: (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam(supaya mereka beriman); (Surah Nuh: ayat 5)
Maulana Tariq Jameel menerangkan bahawa dakwah Nabi Nuh adalah siang dan malam. Selama mana?
Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut pada ayat 14 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).” (Surah Ankabut: ayat 14)
Tidak tergambar betapa teruknya dan cekalnya hati Nabi Nuh a.s selama 950 tahun menjalankan usaha mengajak umatnya kepada Allah s.w.t siang dan malam dengan penuh kesabaran walaupun yang mengikuti baginda hanyalah sekitar lapan puluh orang sahaja. Sesungguhnya kuantiti pengikut bukanlah ukuran kejayaan dalam melaksanakan dakwah, kerana yang memberi hidayat adalah kerja Allah s.w.t.
(Jumlah lapan puluh orang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Tafsir Ibn. Kathir)
Kerja dakwah adalah ‘mahkota kerja’, kerana jikalaulah ada kerja yang lebih mulia dari kerja dakwah, sudah tentu Allah telah beri kerja itu kepada Para Nabi dan Rasul iaitu orang-orang yang Allah paling kasih.
Nabi Nuh a.s selama 950 tahun siang dan malam telah buat dakwah. Umat ini insyaAllah akan menjadi saksi kepada Nabi Nuh a.s di akhirat nanti. Kita sendiri, tak kan sekadar dengar sahaja Nuh a.s buat dakwah, apa pula yang kita lakukan siang dan malam, sepanjang hidup kita ini. Berapa masa kita berikan untuk kesibukan urusan kerja agama dan kerja dunia kita? Apa tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim? Ayuh sahabat-sahabatku semua, ayuh kita bangkit untuk bergerak supaya umat ini dan generasi kita terpelihara oleh Allah s.w.t daripada fitnah dunia yang amat merbahaya untuk akidah orang islam dewasa ini.

No comments:

Post a Comment