Monday 18 June 2012

Realiti Islam di selatan Thai

[SN034] Seramai 131 orang penduduk selatan Thailand bertindak menyelamatkan diri daripada keganasan pihak tentera dengan menyeberangi sempadan Malaysia-Thai untuk masuk ke negeri Kelantan pada 31hb Ogos 2005 yang lepas[Utusan Malaysia 1hb September 2005]. Mereka bertindak demikian kerana bimbang dengan tindakan ketenteraan Thailand yang sebelum ini didakwa menembak mati 17 orang Islam termasuk imam kampung dalam operasi Isnin 29 Ogos 2005 lalu. Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Pemangku Senior Asisten Komisioner 1 (SAC 1), Zulkifli Abdullah dalam satu kenyataannya mengesahkan kehadiran 62 warga Thailand di Masjid Gual Tinggi dan 69 orang di Masjid Pengkalan Kubor. Mereka yang terdiri daripada guru, imam dan bekerja sendiri kelihatan cemas sambil membawa beg pakaian menandakan mereka berniat untuk tinggal lama di Kelantan. Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Abd Samad, ia berpunca daripada insiden tunjuk perasaan penduduk atas pembunuhan imam tempatan, Satok Pak Yusof, 55, tetapi ia dinafikan oleh pihak tentera. Disebabkan pendirian tegas para penduduk dan keengganan mereka untuk bertolak-ansur dengan pasukan keselamatan serta pegawai kerajaan, pihak tentera telah melakukan kekerasan ke atas para penduduk. Inilah di antara peristiwa terbaru yang berlaku di selatan Thai sejak undang-undang darurat diperkenalkan di sana. Bersandarkan peristiwa ini, Sautun Nahdhah ingin mengupas hakikat konflik ini, serta mengutarakan penyelesaian yang sewajarnya diusahakan oleh kaum muslimin. 

Sejarah dan realiti konflik 

Penderitaan umat Islam di wilayah Pattani sebenarnya telah lama bermula, iaitu sejak kejatuhan Kesultanan Melayu-Islam Pattani pada tahun 1786. Tentera-tentera Siam telah bertindak di luar batas kemanusiaan ketika memasuki wilayah-wilayah Pattani. Dengan kejatuhan empayar agung itu, yang pernah menguasai wilayah selatan Thai bermula dari Phattalung hingga ke negeri Terengganu, ini bermakna wilayah Pattani telah dijajah sepenuhnya oleh Kerajaan Siam, termasuklah Kelantan dan Terengganu. Keamanan di kawasan tersebut hampir hilang terutamanya setelah penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu-Islam Pattani melalui dasar Thesaphiban pada tahun 1902. Empayar tersebut kemudiannya pupus secara mutlak apabila perjanjian sempadan (Perjanjian Bangkok) ditandatangani pada 1909 di antara Kerajaan Siam dan British, yang mana ia menyaksikan British mengiktiraf penguasaan Siam ke atas Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla manakala British pula mendapat kuasa mutlak ke atas Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sejak itu juga, orang-orang Melayu Pattani berada di dalam keadaan tertekan dan daif. Sebagaimana yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsul British di Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di wilayah-wilayah selatan Thai. 

Penentangan dari kalangan penduduk tempatan ini telah dibalas dengan penangkapan tanpa bicara pemimpin ulama dan para pengikutnya. Ini dapat digambarkan melalui perutusan telegram oleh Tengku Abdul Jalal, seorang pejuang kemerdekaan Pattani pada 27hb Januari 1948 kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, yang menyatakan:

“Penindasan terhadap masyarakat Melayu di Selatan Siam oleh pegawai-pegawai Kerajaan Siam boleh membahayakan keamanan. Perbuatan ini dilakukan oleh pihak berkuasa Siam untuk menindas keturunan berbangsa Melayu yang beragama Islam. Pemimpin Islam ditahan sejak 16hb Januari lalu dengan tidak diketahui sebab dan alasannya. Melihatkan kemarahan orang-orang Melayu ini, dikhuatiri akan mencetuskan pertumpahan darah. Oleh itu, diminta agar tindakan segera dan siasatan secepat mungkin dilakukan oleh pihak berkuasa Majlis Keselamatan”, Tengku Abdul Jalal bin Tengku Abd Mutalib, Jawatankuasa Perwakilan Melayu Selatan Siam.

Tarikh 26hb April 1948 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh umat Islam Pattani. Pada tarikh tersebut, kira-kira 400 hingga 600 orang telah menjadi korban keganasan pasukan Thai. Namun begitu, sumber kerajaan Thai pula mendakwa hanya 30 hingga 100 orang sahaja yang terkorban. Serangan ganas pasukan Thai ke atas orang-orang Melayu tanpa sebarang senjata itu berlaku berikutan tercetusnya perhimpunan untuk menentang kerajaan Siam. Penentangan itu muncul kerana bantahan mereka kepada Kerajaan Thai telah ditolak. Bantahan tersebut meliputi hal-hal penganiayaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Thai yang tidak berpengalaman, dasar pendidikan yang hanya mengajarkan bahasa Siam dan corak pemerintahan menerusi kuasa tentera dan polis secara fasis. Peristiwa tersebut lebih dikenali sebagai Perang Dusun Nyior. Pada tahun 1954, berlaku peristiwa menyayat hati apabila pemimpin ulama Pattani, Tuan Guru Haji Sulong telah ditemui mati di pantai Songkhla di dalam keadaan terikat. Peristiwa ini telah sekali lagi menimbulkan kemarahan penduduk Islam di Wilayah Pattani. Pada Sabtu 29hb November 1975, ketegangan yang berlaku di Masjid Besar Menara telah menyebabkan berlakunya pembunuhan 5 orang pemuda Melayu-Islam di Jambatan Kota, Kampung Kaki Bukit, Wilayah Menara (Narathiwat). 23,000 umat Islam berkumpul sambil menunjuk perasaan di bandar Pattani. [Utusan Malaysia, 22 Disember 1975]. Bahkan, peristiwa tersebut telah menggemparkan kota Bangkok apabila mahasiswa Islam yang belajar di sana telah menubuhkan Kumpulan Selatan di samping mendapatkan persetujuan Majlis Pelajar Nasional Thai atau National Student Council of Thailand (NSCT). Hasilnya, sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang berpengaruh di Thailand, Bangkok Post, telah menyiarkan berita pembunuhan itu di muka hadapan sebagai tajuk utama.

Terbaru, pada 28hb April 2004, berlaku pula tragedi berdarah Masjid Krisek. Dianggarkan 117 pemuda Melayu-Islam ditembak mati oleh pasukan tentera dan polis Thai termasuklah 34 orang pemuda yang dibunuh di dalam masjid tertua tersebut. Tidak lama selepas itu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan Tragedi Tak Bai pada 25hb Oktober 2004 yang lalu. Statistik yang diberikan oleh seorang pemerhati bebas menjelaskan bahawa 6 orang mati serta merta akibat terkena tembakan, 78 orang mati di hospital, 35 mayat ditemui terapung di dalam sungai dan 1,298 orang mengalami kecederaan. Disebabkan peristiwa-peristiwa tersebut, kepercayaan masyarakat Islam kepada pentadbiran Bangkok luluh bagai dirobek-robek.

Memandangkan kebanyakan sekolah pondok memainkan peranan yang sangat penting di dalam membina jati diri Muslim bagi umat Islam, kerajaan Thai melihat ia akan menjadi halangan utama proses assimilasi penduduk Islam ke dalam masyarakat Thailand. Maka sejak tahun 1930an dan 1940an, Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Thai ketika itu, Phibun Songgkram (1939-44) cuba melakukan assimilasi penduduk Islam wilayah selatan Thai melalui Dasar Rathaniyom dengan menukar bahasa perantaraan pengajaran sekolah-sekolah pondok daripada bahasa Arab ke bahasa Thai. Dasar ini juga terlalu banyak menekan amalan agama Islam dan budaya orang Melayu di wilayah tersebut. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan alim ulama dan penduduk setempat. Dasar tersebut dipandang sebagai ancaman kepada identiti dan cara hidup mereka. Berikutan itu, sekolah-sekolah pondok telah digunakan untuk menyebarkan idea-idea kebangkitan Islam di kalangan para pelajar. 

Sekiranya diperhatikan dari fakta sejarah dan hakikat kekejaman pihak berkuasa Thai, tidak hairanlah sekiranya ramai yang merasakan bahawa kejadian serangan-serangan bom yang berlaku sejak hari Isnin, 29hb Ogos 2005 lepas, yang telah menggugat keselamatan masyarakat Melayu Pattani di selatan Thai, adalah merupakan akibat dari kerja tangan pihak pemerintah sendiri. Di dalam usaha untuk menghapuskan pejuang-pejuang Islam, mereka telah menerapkan undang-undang tentera dan Akta Kuasa Darurat. Ia menyebabkan mereka kerap-kali bertindak zalim terhadap masyarakat Islam hingga menyebabkan masyarakat Islam hilang kepercayaan terhadap pemerintah. Dengan Akta Kuasa Darurat yang baru dikuatkuasakan, umat Islam di wilayah selatan Thailand terdedah kepada tindakan melampau pasukan polis dan tentera Thai. Menurut temuramah dengan salah seorang penduduk wilayah selatan Thai yang melarikan diri itu, pihak berkuasa Thai telah menggeledah rumah-rumah penduduk kampung seawal jam 3 pagi di dalam usaha menjejaki para pejuang Islam. Mereka yang disyaki akan ditahan dan kemudian lenyap tanpa diketahui nasibnya. Ini semua berpunca daripada siri serangan letupan bom di beberapa tempat di wilayah selatan Thailand sejak beberapa hari yang lalu.

Penyelesaian yang dicari

Ketika artikel ini ditulis, kesemua 131 orang penduduk selatan Thailand tersebut masih ditahan di depoh tahanan sementara imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Angka 131 ini agak unik memandangkan pada Februari 1981, 131 orang penduduk pekan Merah Betong, Yala telah menyeberang sempadan untuk mendapatkan perlindungan di Baling, Kedah akibat keganasan tentera Thai. Kerajaan Malaysia ketika itu terpaksa memberikan perlindungan kepada pelarian ini. Bahkan satu Jawatankuasa Petugas Khas telah ditubuhkan ketika itu di Kedah dan Perak untuk mengurus masalah tersebut [Utusan Malaysia, 11 April 1981].

Di kala kerajaan Malaysia dan Thai masih bermain kata-kata di dalam isu ini, wajarlah diingatkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa sebarang tindakan yang diambil haruslah selari dengan perspektif Islam. Ketika Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat berada di dalam tekanan dan ancaman daripada pihak kafir Quraisyh di Mekah, sebilangan kaum Muslimin telah berhijrah ke Habsyah. Hijrah tersebut bukan bertujuan untuk mendapatkan bantuan di dalam bentuk kuasa politik memandangkan Raja Najasy merupakan seorang yang taat dengan ajaran Nabi Isa ketika itu, tetapi ia semata-mata untuk mendapatkan perlindungan Raja Najasy daripada penyeksaan orang-orang kafir Quraisyh. Walaupun orang-orang Quraisyh mendesak, tetapi Raja Najasy berkeras untuk tidak menyerahkan kaum Muslimin kepada mereka [Syeikh Taqyuddin An-Nabhani, Ad Daulah Al-Islamiyyah].

Berdasarkan dalil ini, pelarian umat Islam daripada wilayah selatan Thai yang sedang ditahan di Kelantan itu hendaklah diberikan perlindungan. Bukan hanya semata-mata atas dasar perikemanusiaan, tetapi juga atas sebab umat Islam adalah umat yang satu. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: 

Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada Ku”[TMQ Al Mukminun: 52]

Ayat di atas menegaskan bahawa kesatuan umat itu mempunyai implikasi bahawa ia harus berdiri di atas satu sistem dan satu deen. Kesatuan tersebut dapat digambarkan seperti sebuah bangunan masyarakat yang setiap individunya diikat oleh tali Allah Subhanahu wa Ta’ala. Memisahkan diri darinya bermakna telah terkeluar daripada ketentuan syara’. 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Dan berpegang-teguhlah kalian semuanya, dan janganlah kalian bercerai-berai…”[TMQ Al Imran : 103]

Sheikh Abdul Aziz Al Badri di dalam kitabnya Al Islam Dhaaminun lil Haajat Al Asaasiyah likulli Fardin wa Ya’malu lirafaahiyatih menyatakan bahawa umat Islam adalah umpama satu tubuh, setiap individu adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan. Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:

Perumpamaan orang-orang Muslim, bagaimana kasih sayang dan tolong menolong terjalin antara mereka, adalah laksana satu tubuh. Jika satu bahagian merintih merasakan sakit, maka seluruh bahagian tubuh akan bertindakbalas dengan berjaga( tidak dapat tidur) dan merasa demam lantaran reaksi tubuh” . [HR Muslim]

Khatimah

Perpecahan umat Islam hari ini menyebabkan umat Islam terlupa tentang ikatan mereka dengan saudara seIslam dengan mereka. Mereka tidak melihat isu di Selatan Thailand, Afghanistan, Palestin dan Iraq daripada perspektif Islam namun mereka hanya membincangkannya daripada perspektif manfaat ekonomi dan sosial semata-mata. Isu-isu ini disempitkan menjadi isu yang berbentuk nasionalistik, seolah-olah kaum muslimin yang merana ini wajar dikasihani dan dihulurkan simpati, namun masalah tersebut tidak sepatutnya diperpanjangkan kepada kaum muslimin yang lain. Padahal, ia sepatutnya menjadi titik-tolak untuk memperingatkan semua umat Islam akan kewajipan kita untuk mencari penyelesaian menyeluruh agar konflik-konflik tersebut tidak berulang, sebagaimana hadis Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang ketika ia bangun dari tidur tanpa memikirkan urusan umat Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka”. [HR Al Hakim]

Menegakkan sebuah entiti politik iaitu Khilafah Islamiyyah adalah perkara yang mesti diperbincangkan, dicanangkan dan diusahakan oleh setiap individu Muslim. Khilafah Islamiyyah telah dilenyapkan pada 3hb Mac 1924 dan sejak itu, pelbagai konflik melanda umat Islam. Kini, tibalah masanya ia ditegakkan semula agar ia menjadi pelindung dan penjaga bagi umat Islam, sesuai dengan hadis Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya imam adalah laksana perisai, yang (umat) akan beperang dan berlindung di belakangnya”. [HR Muslim, Abu Dawud, An Nasa’i, Ahmad dari Abu Hurairah]

Hadis di atas dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa hanya khalifah (imam) sahaja yang dapat menyatukan umat dan seterusnya menjadi pelindung bagi mereka. Konflik di wilayah selatan Thailand merupakan secebis episod sedih keadaan umat Islam masakini. Terdapat banyak lagi konflik yang melibatkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Selagi Khilafah Islam tidak didirikan, umat Islam di seluruh dunia akan terus berada di dalam ancaman kuasa kuffar. Sayugia itu, marilah kita berusaha menggembeling tenaga merintis perjalanan dakwah Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam untuk mendirikan semula Khilafah atas manhaj kenabian (khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah) agar nasib semua saudara seagama kita yang dikala ini merana disebabkan makar pihak kuffar akan terbela. Usaha ini juga adalah untuk memastikan Islam yang kaffah direalisasikan sebagai indikasi terbitnya sinar di penghujung terowong kegelapan jahiliyyah, lantas muncul sebagai rahmah lil ‘alamin.


Realiti Islam di selatan Thai



suasana sebenar di Masjid Jamek Pattani yang menafikan dakwaan pihak militan bahawa umat Islam tidak bebas beribadat dan enggan mengibarkan bendera serta menggunakan tulisan Thai.


"MARILAH kita bersatu atas nama Islam dan janganlah mudah terpedaya dengan situasi dan usaha untuk memecah-belahkan kita.''
Itulah antara intipati yang terkandung dalam khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Jamek, Pattani pada 14 Ogos lalu.
Kesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan serta meninjau kehidupan masyarakat Islam di Selatan Thailand termasuk di pondok-pondok pengajian agama, menimbulkan persoalan di fikiran penulis apakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa umat Islam di wilayah berkenaan tertindas.
Mungkin sebelum ini berlaku beberapa peristiwa yang menyebabkan kemarahan umat Islam tetapi semua itu berlaku ketika Thailand berada di bawah kepimpinan Thaksin Shinawatra.
Tetapi sekarang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva banyak sudah ruang dibuka bagi membolehkan konflik di Selatan Thailand berakhir.
Penulis diberitahu kerajaan Thailand sudah menyatakan komitmennya untuk melaburkan berjuta-juta ringgit bagi membangunkan wilayah berkenaan.
Komitmen ini seharusnya disambut baik oleh semua umat Islam di Thailand termasuklah kelompok yang mengaku sebagai puak pemisah. Tetapi apa yang disaksikan, puak berkenaan seolah-olah tidak mahu itu berlaku.
Justeru atas nama perjuangan mereka terus berusaha menganggu gugat keamanan dengan menyebarkan propaganda yang entah apa-apa.
Penulis melihat sendiri bagaimana umat Islam menjalani kehidupan seharian tanpa apa-apa masalah atau sekatan. Malah bekas Panglima Tentera Thailand yang juga seorang Islam, Sonthi Boonyaratglin memberitahu penulis bahawa umat Islam tidak berasa kehidupan mereka terancam.
Pihak yang menggembar-gemburkan kononnya umat Islam ditindas hakikatnya mempunya agenda politik masing-masing.
Atas sebab itulah mereka memberitahu orang luar perkara-perkara yang tidak masuk akal. Ini boleh dibuktikan kalau kita melihat sendiri suasana di selatan.
Sebagai contohnya, ada individu yang mengaku dirinya pemimpin puak pemisah mendakwa, umat Islam di selatan amat membenci kerajaan Thai.
Menurut dakwaan palsunya, kebencian tersebut sampai ke tahap umat Islam tidak mahu menggunakan tulisan Siam di sekolah-sekolah agama dan masjid-masjid serta tidak mahu mengibar bendera Thailand.
Selain itu, mereka juga mendakwa umat Islam tidak suka menggunakan dua huruf "T" pada ejaan Pattani kerana menganggap ia bermaksud "Tanah Thailand". Namun ketika melakukan tinjauan di sana, suasana amat berbeza sekali daripada apa yang didakwa.
Di semua sekolah agama dan masjid tulisan Siam tetap digunakan dan bendera Thailand tetap dikibarkan. Keadaan itu membuktikan dengan jelas bahawa kelompok yang mendakwa pemimpin puak pemisah ini hanyalah melakukan propaganda semata-mata.
Lebih malang lagi, mereka yang membuat dakwaan ini tidak pernah pun pulang ke Thailand selepas melarikan diri. Mereka hidup selesa di luar negara dan ada antaranya sudah menjadi warga negara asing.
Mereka tidak tahu pun apa-apa perkembangan di tanah air sendiri, tetapi masih juga mahu mendakwa kononnya mereka mampu memainkan peranan penting bagi mewujudkan keamanan di wilayah tersebut.
Mungkin masanya sudah tiba untuk kerajaan Thailand atau mana-mana juga agensi luar yang terlibat dalam usaha membawa keamanan di wilayah berkenaan memikirkan semula, adakah perlu rundingan diteruskan dengan puak-puak pemisah ini.
Kalau hendak berunding pun biarlah dengan kumpulan yang betul dan bukannya dengan individu atau kelompok yang cuba menangguk di air keruh.
Sebenarnya, kita pun tidak pasti malah kerajaan Thailand sendiri pun difahamkan tidak tahu siapa sebenarnya puak pemisah.
Kalau hendak dikatakan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) ia boleh dikatakan sudah lama berkubur. Kalau pun ada puak yang mendakwa mereka daripada PULO, mereka tidak mempunyai kekuatan senjata. Malah organisasi itu boleh dianggap hidup segan mati tidak mahu.
Penulis difahamkan ada lagi satu puak ialah Barisan Rakyat Bersatu (BRN), tetapi tidak pasti sejauh manakah kekuatannya.
Namun apa yang pasti tidak kira banyak manapun puak pemisah, mereka tidak bersatu dan ini diakui oleh Sonthi yang menganggap keadaan itu mewujudkan kesukaran untuk pihak kerajaan berunding.
Puak pemisah tidak ada pemimpin unggul yang boleh ditonjolkan, mereka berselerakan dan tidak bersatu. Tetapi malangnya mereka tidak mahu mengkaji kelemahan ini sebaliknya lebih gemar mewujudkan propaganda bukan-bukan sehingga menggugat kehidupan aman umat Islam di selatan yang sudah pasti hampir keseluruhan tidak menyokong puak pemisah.
Bukankah dalam Islam sendiri sudah menganjurkan kita supaya taat kepada pemimpin asalkan pemimpin itu tidak menyuruh kita melakukan kemaksiatan dan tidak memerangi agama Islam.
Oleh itu kepada puak pemisah, mereka perlu ikhlas dalam perjuangan. Kalau benar mereka jujur ingin melihat umat Islam di selatan hidup dalam suasana aman dan mampu mengecap kebahagiaan seperti kaum-kaum lain di Thailand, mereka mesti menyokong apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan.
Tidak perlulah terlalu taksub untuk menegakkan perjuangan songsang kerana kalau betul mereka berjuang atas nama Islam, kenapa perlu membunuh ustaz, imam dan individu Islam yang lain.
Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh puak pemisah sekarang tidak kira siapapun mereka tidak menguntungkan umat Islam. Mereka tidak boleh dipengaruhi dengan perasaan dendam dan kebencian yang melampau.
Kalau mereka mahu melihat kesejahteraan umat Islam, mereka perlu keluar dari tempat persembunyian dan mengadakan rundingan.
Sejarah sudah membuktikan, bagi manamana juga kerajaan yang berhadapan dengan puak pemisah seperti di Thailand kesabaran kerajaan ada hadnya. Apabila tiba masanya, jika puak pemisah masih lagi berdegil, maka mereka perlu bersedia menerima akibatnya.
Ketika ini kita boleh memuji usaha dilakukan oleh kerajaan Thai dalam mewujudkan keamanan dan membantu masyarakat di selatan negara itu.
Ia termasuklah memberikan peruntukan pembangunan dan kesediaan menubuhkan pasukan petugas khas yang dikenali sebagai Task Force 960 Thailand yang bekerjasama dengan Task Force 2010 (Malaysia) bagi melaksanakan misi berkenaan.
Tetapi kebaikan ini boleh berakhir dan puak pemisah akan diperangi habis-habisan sekiranya mereka terus berusaha untuk meneruskan perjuangan sia-sia mereka.
Malangnya, kalau mereka berada di Thailand tidak apa tetapi masalahnya bak kata orang mereka 'sedap-sedap duduk di luar negara', risikonya umat Islam di Thailand menanggungnya.
Oleh itu kepada puak pemisah, janganlah bersikap munafik. Kalau benar ikhlas berjuang untuk kesejahteraan umat Islam Thailand maka lakukanlah tindakan yang betul, berusahalah untuk bersatu dan berunding, bukannya terus melancarkan tindakan ganas kerana jika itu dilakukan ia bukanlah satu perjuangan tetapi pengkhianatan.


Wallahu alam

No comments:

Post a Comment