Puasa Menjana Keperibadian Muslim
>> MONDAY, SEPTEMBER 7, 2009
Pengertian Puasa
Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan dirimanakala dari segi istilah syara’ pula, ia bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.
Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim pada bulan Ramadhan setiap tahun. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran :
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.
(Surah al-Baqarah : 183)
Islam mewajibkan puasa kepada umatnya kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan faedah.
Orang yang berpuasa dapat melatih agar menjadi seorang yang sentiasa bersabar menghadapi cabaran dan dugaan yang boleh membatal atau mengurangkan pahalanya berpuasa. Contohnya, murid yang mempunyai sifat sabar sudah tentu akan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan berputus asa dalam menggapai kecemerlangan demi membina kemajuan dan keamanan negara.
Rukun Puasa
Puasa mempunyai dua rukun, iaitu niat dan menahan diri. Lafaz niatnya adalah seperti berikut :
نَوَيْتُ صَومَ غَدٍعََنْ أَدَاءِِِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”.
Menahan diri pula bererti menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa
1. Bersetubuh pada siang hari
2. Gila
3. Murtad
4. Mengeluarkan mani dengan sengaja
5. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja
6. Makan dan minum dengan sengaja
7. Melahirkan anak
8. Muntah dengan sengaja
9. Keluar haid atau nifas
10. Pengsan atau mabuk sepanjang hari
Syarat-syarat Wajib Berpuasa
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal
4. Tidak uzur syar'i
Syarat-syarat Sah
1. Islam
2. Berakal
3. Mumayyiz
4. Suci daripada haid dan nifas
5. Niat pada waktu malam bagi puasa fardhu
6. Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa
Perkara-perkara Sunat ketika Berpuasa
- Segera berbuka puasa
- Membaca doa sebelum berbuka
- Berbuka dengan kurma atau sesuatu yang manis
- Melewatkan sahur
- Memeberi jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa
- Membanyakkan berdoa, berzikir dan berselawat
Perkara-perkara Makruh ketika Berpuasa
1. Melewatkan berbuka puasa
2. Mempercepatkan sahur
3. Berkumur secara berlebihan
4. Merasa makanan dengan lidah
5. Menggosok gigi selepas gelincir matahari
6. Terlalu kerap atau lama mandi
7. Tidur sepanjang hari
Jenis-jenis Puasa
Wajib
|
Sunat
|
Makruh
|
Haram
|
1.Bulan Ramadhan
2.Qada’ (ganti)
3.Nazar
|
1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kecuali orang yang mengerjakan ibadat haji)
2.Tasu’a dan ‘Asyura, iaitu 9 dan 10 Muharram
3.Hari Isnin dan Khamis
4. Tiga hari setiap bulan, iaitu 13, 14 dan 15
5. Enam hari dalam bulan Syawal
6.Puasa Nabi Daud (sehari berpuasa dan sehari berbuka)
|
1.Berpuasa sunat hanya pada hari Jumaat dan Sabtu
2.Berpuasa sepanjang tahun
|
1. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
2.Hari-hari Tasyriq, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah
3.Hari Syak, iaitu 30 Sya’ban
|
Hikmah Berpuasa
- Menjana kekuatan rohani dan jasmani
- Melatih diri agar bersabar dan ikhlas dalam beribadat
- Menimbulkan perasaan insaf dan belas kasihan terhadap orang miskin
- Memupuk sifat berdisiplin dan bersyukur dalam diri individu Muslim
Akibat Buruk Orang yang Tidak Berpuasa
ü Dimurkai Allah S.W.T
ü Kehidupan tidak tenang dan tenteram
üBersifat riak dan gelojoh
ü Cepat berputus asa
üDibenci masyarakat dan dipandang hina
ü Menyumbang kepada kemunduran negara
Keharusan Berbuka Puasa
Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah manusia, fleksibel dan mudah diamalkan tanpa membebankan manusia. Contohnya ibadat puasa yang difardhukan kepada umat Islam adalah untuk kebaikan mereka. Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu seseorang Muslim dibenarkan berbuka puasa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain dan wajib bagi orang- orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.
(Surah al-Baqarah : 185)
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Ibnu Abbas r.a berkata: Telah diberi rukhsah (keringanan) kepada orang yang sangat tua untuk berbuka puasa dengan memberi makan seorang miskin dan tidak wajib qada’ bagi setiap hari yang ditinggalkannya”.
(Riwayat Dar al-Qutni dan al-Hakim)
Kedua-dua dalil di atas menunjukkan Islam ialah agama yang bertimbang rasa kerana ia adalah agama Allah S.W.T. Rasulullah s.a.w sendiri ialah seorang yang bertolak ansur dalam beribadat seperti melarang seorang sahabat yang ingin berpuasa secara berterusan sepanjang tahun kerana beliau sendiri berpuasa dan berbuka.
Golongan yang Harus Berbuka Puasa
1) Orang yang sedang sakit di mana boleh memudaratkan dirinya
2)Orang yang sakit tenat di mana tiada harapan untuk sembuh
3) Orang yang bermusafir melebihi 2 marhalah
4) Orang yang tersangat lapar atau dahaga di mana boleh membahayakan dirinya
5) Orang tua yang tidak mampu berpuasa
6) Perempuan mengandung yang bimbangkan kesihatan diri atau kandungannya
7) Orang yang melakukan pekerjaan berat
8) Perempuan yang menyusukan anak untuk menjaga kesihatan diri atau anaknya
Qada’, Fidyah dan Kifarat Puasa
Qada’ dari segi bahasa ialah membayar. Mengikut istilah fiqh, ia bermaksud mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu atau hari lain.
Fidyah pula bermaksud sejenis gantian yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu ketika beribadat. Gantiannya ialah memberi sedekah kepada fakir miskin makanan asasi penduduk negeri berkenaan sebanyak secupak bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Kifarat ialah denda yang dikenakan kerana melanggar sesuatu peraturan atau hukum agama, iaitu memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan wajib memberi 60 cupak makanan asasi kepada fakir miskin jika tidak mampu juga.
Golongan yang Wajib Qada’, Wajib Fidyah, Wajib Qada’ dan Fidyah dan Wajib Qada’ dan Fidyah Puasa
Wajib Qada’
|
Wajib Fidyah
|
Wajib Qada’ dan Fidyah
|
Wajib Qada’ dan Fidyah
|
ØMusafir yang diharuskan syara’
ØSakit yang memudaratkan jika berpuasa
ØPerempuan haid, wiladah dan nifas
ØPerempuan mengandung atau menyusukan anak kerana bimbangkan kesihatan dirinya
|
ØSakit yang tiada harapan untuk sembuh
ØOrang tua yang tidak berdaya untuk berpuasa
|
ØPerempuan mengandung kerana bimbangkan kesihatan diri dan kandungannya
ØPerempuan menyusukan anak kerana bimbangkan kesihatan diri dan anaknya
ØPerempuan mengandung atau menyusukan anak kerana bimbangkan kesihatan anaknya sahaja
ØLewat menggantikan puasa hingga tiba Ramadhan berikutnya
|
ØSuami yang melakukan persetubuhan dengan sengaja pada siang hari di bulan Ramadhan
|
Hikmah Diharuskan Berbuka Puasa
- Memberikan kemudahan dan kesenangan kepada mereka yang tidak dapat berpuasa
- Memberi semangat untuk terus mengerjakan ibadat puasa
- Menjalani kehidupan berlandaskan hukum-hukum syara’
- Mendapat hidayah dan keredhaan Allah S.W.T
Keistimewaan Bulan Ramadhan
Dari segi bahasa, Ramadhan bermaksud panas terik. Menurut istilah syara’ pula, ia dipanggil bulan rahmat yang diwajibkan berpuasa padanya. Ia juga dikenali sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan (شهر مبارك). Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan ini ialah Allah S.W.T telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”.
(Surah al-Qadr : 1-5)
Selain itu, bulan mulia ini merupakan bulan khusus untuk umat Islam melakukan ibadat puasa pada siang hari manakala menunaikan solat sunat Terawih dan bersahur pada waktu malamnya. Allah S.W.T mengurniakan ganjaran pahala sehingga tujuh ratus kali ganda bagi setiap kebaikan yang dilakukan dalam bulan tersebut. Di samping itu, doa umat Islam akan diperkenankan, diampunkan dosa-dosa yang lalu, bergembira ketika berbuka dan masuk syurga melalui pintu al-Rayyan merupakan beberapa kelebihan lain bulan keberkatan ini.
Amalan Utama dalam Bulan Ramadhan
Terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam pada bulan Ramadhan yang memberikan pulangan pahala yang cukup lumayan daripada Allah S.W.T. Antaranya membaca al-Quran secara berseorangan atau tadarus, bersolat Terawih secara berjemaah pada setiap malam Ramadhan, bersedekah kepada mereka yang memerlukan, qiamullail (bangun pada malam hari untuk beribadat kepada Allah S.W.T), beri’tikaf di dalam masjid dengan berzikir, membaca al-Quran dan banyak lagi.
Kelebihan atau fadilat daripada kesemua amalan ini antaranya diampunkan dosa-dosa yang lampau, menguatkan tubuh badan untuk beribadat, mengeratkan silatulrahim sesama Muslim, menyembuhkan penyakit, menampung kecacatan puasa, mendapat pahala yang banyak, mudah untuk memasuki syurga, terselamat daripada api neraka dan sebagainya. Apa yang penting, kita sebagai umat Islam haruslah mengambil peluang untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T melalui ibadat-ibadat yang dinyatakan di atas apabila tibanya bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan ini.
No comments:
Post a Comment