Saturday, 23 June 2012

Hari Asyura


Al-Hikmah mengucapkan selamat berpuasa pada hari ini yakni 10 Muharram kepada semua jemaah Al-Hikmah dan juga pembaca dan tetamu di blog Al-Hikmah ini. Kami di Al-Hikmah malam ini sepakat hendak membuat jamuan yang ‘special’ sikit malam ini. Sejak seminggu yang lalu beberapa ahli jemaah Surau Al-Hikmah bermesyuarat untuk memeriahkan 10 Muharram ini. Haji Latif dan rakan-rakan jemaah ada mewar-warkan kepada Al-Hikmah untuk menjamu anak-anak kariah malam ini dengan Nasi Bryani Kambing dan Ayam. Oleh itu molek juga jika kita ceritakan sedikit mengenai Hari Asyura ini.
Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.
Hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad S.A.W.
Ayuh kita bercerita hari ini.
Pembaca semua, Allah SWT dalam banyak firmanNya telah menceritakan kepada kita tentang kisah para nabi dan Rasul-Nya. Dan Allah SWT telah memberitakan kepada kita bahawa pada kisah-kisah tersebut mengandungi pelajaran yang sangat berharga bagi orang-orang yang mahu merenungkannya. Hal ini sebagaimana tersebut dalam firman-Nya:
لَقَدۡ كَانَ فِى قَصَصِہِمۡ عِبۡرَةٌ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصۡدِيقَ ٱلَّذِى بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَتَفۡصِيلَ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يُؤۡمِنُونَ (١١١
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Yusuf: 111)  Quran Explorer – [Sura : 12, Verse : 111 - 111]
Di antara kisah penting yang Allah SWT sebutkan adalah kisah tentang NabiNya, Nabi Musa AS. Bahkan kisah ini Allah SWT sebutkan secara berulang-ulang kali di dalam berbagai surah dalam Al-Quran. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kisah ini untuk diketahui dan dipelajari. Kisah ini menceritakan tentang binasanya seorang pemerintah zalim yang diberi gelaran Firaun Laknatullah. Disebutkan dalam kisah tersebut, Firaun adalah pemerintah yang berbuat sesuka hati dan zalim kepada sebahagian rakyatnya. Dia membahagikan rakyatnya menjadi dua golongan untuk kemudian dioerlakukannya dengan tidak adil. Dia memuliakan golongan yang berasal dari bangsanya dengan diberi kebebasan untuk melakukan apa yang mereka suka. Dan dia menghina golongan yang lain, iaitu yang berasal dari Bani Israil yang pada saat itu mereka adalah sebaik-baik manusia. Setelah sampai berita kepada Firaun akan datangnya seorang dari keturunan Bani Israil yang akan menjadi sebab runtuhnya kekuasaannya, segeralah dia mengutuskan orang-orangnya untuk membunuh setiap bayi laki-laki dari Bani Israil yang dilahirkan pada masa itu.
Hal ini sebagaimana tersebut dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan. “(Al-Qasas: 4)  Quran Explorer – [Sura : 28, Verse : 4 - 4]
Ketika Nabi Musa AS lahir pada waktu itu, ibunya bimbang akan keselamatan anaknya itu. Namun Allah SWT menghendaki Musa AS selamat dari kezaliman Firaun dan bala tenteranya. Bahkan Musa AS akhirnya hidup di tengah-tengah keluarga Firaun (dengan Izin Allah SWT). Makan dan minum serta pakaiannya juga kenderaannya adalah daripada yang digunakan oleh keluarga Firaun. Begitulah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala (SWT), sehingga orang yang akan dijadikan sebagai penyebab runtuhnya kekuasaan Firaun, boleh hidup dan membesar di kalangan keluarganya si pemerintah yang zalim itu. Saudara-saudaraku kaum muslimin pembaca setia Al-Hikmah, sesungguhnya pertolongan Allah SWT kepada wali-waliNya dari kalangan orang-orang yang beriman adalah pertolongan yang akan datang pada setiap masa dan setiap tempat dan keadaan di mana-mana mereka berada. Dengan pertolongan tersebut, Allah SWT menampakkan kebenaran dan Allah SWT menghina kebatilan. Disebutkan dalam kisah tersebut, bahawa kemudian Allah SWT menjadikan Musa AS sebagai RasulNya. Namun ketika Allah SWT mengutuskan Nabi Musa AS untuk mendakwahi Firaun dan pengikutnya serta memerintahkan mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, Firaun pun menolaknya bahkan dengan sombongnya mengatakan: “Akulah tuhan kamu yang maha tinggi. “Allah SWT menyebutkan dialog antara Nabi Musa AS dengan Firaun sebagaimana di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Firaun berkata (dengan sombongnya): Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu? (23) Nabi Musa menjawab. Dialah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya. (24) Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)? (25) Nabi Musa menegaskan lagi: Dialah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu. (26) Firaun berkata (kepada orang-orangnya): Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila? (27) Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: Dialah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahaminya. (28) Firaun berkata: Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan. (29) “(Al-Shuara’: 23-29) Quran Explorer – [Sura : 26, Verse : 23 - 29]
Allah Maha Kuasa
Sujud kepada Illahi
Di dalam ayat tersebut, Allah SWT menampakkan kebenaran yang dibawa oleh utusanNya dengan hujjah dan keterangan yang sangat jelas. Adapun Fir’aun, tidaklah keluar dari mulutnya kecuali kata-kata ejekan dan ancaman serta tuduhan yang tidak berlandaskan bukti. Sehingga ketika Firaun berkata kepada pengikutnya dengan menuduh Musa AS sebagai orang yang gila, Allah SWT menunjukkan bahawa Firaun dan para pengikutnyalah yang sesungguhnya adalah orang-orang yang tidak berakal. Kerana mereka mengingkari sesuatu yang sangat jelas kebenarannya yang mereka tidak boleh membantahnya. Demikianlah pertolongan Allah SWT kepada orang-orang yang bertakwa. Allah SWT mengurniakan kepada mereka ilmu sehingga boleh menghapuskan kebatilan serta mematahkan tuduhan yang dilontarkan tanpa bukti sehingga menunjukkan siapa yang berada di atas kebenaran dan siapa yang menurut hawa nafsu.
Disebutkan lagi dalam kisah tersebut, bahawa ketika Firaun tetap di atas kekufuran dan kesesatannya, Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk meninggalkan negeri tersebut. Namun ketika Firaun mengetahui hal itu, dia memerintahkan pasukannya untuk mengejar Musa AS dan pengikutnya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
“Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. (60) Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. (61) Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (62) Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. (63) Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. (64) Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. (65) Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). (66) Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. (67)” (Al-Shuara’: 60-67)Quran Explorer – [Sura : 26, Verse : 60 - 67]
Sahabat-sahabatku yang dimuliakan oleh Allah SWT,
Di dalam sebahagian kisah Nabi Musa AS dan Fir’aun tersebut, di atas kita boleh mendapatkan beberapa pelajaran. Antaranya adalah:
1. Bahawa orang-orang yang beriman akan diuji dengan musuh-musuhnya dari kalangan orang-orang munafik dan orang-orang yang kafir. Hal itu untuk menunjukkkan bahawa siapa yang benar-benar kukuh imannya serta siapa yang lemah imannya atau bahkan menyembunyikan kekafiran di dalam hatinya.
2. Bahawa kebatilan walaupun disokong kekuatan sebesar apa sekali pun, tidak akan dapat mengalahkan kebenaran. Allah SWT pasti akan mengangkat kebenaran dan akan menghancurkan kebatilan. Maka orang-orang yang mengetahui dirinya di atas kebenaran harus yakin bahawa Allah SWT akan menjaga serta memenangkannya. Barangsiapa sabar dan kukuh di atas agama Allah SWT, nescaya akan mendapat pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT.
3. Bahawa kemenangan akan datang bersama kesabaran dan bahawa bersama kesulitan akan datang jalan keluar.
Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberikan kepada kita taufiq dan hidayahNya untuk sentiasa mempelajari firman-firmanNya. Sehingga kita dapat memahami dan mengambil pelajaran dari ayat-ayatNya. Marilah kita sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan sentiasa mengambil pengajaran dari kemenangan-kemenangan yang diraih oleh wali-wali Allah SWT. Di antaranya adalah kemenangan yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi Musa AS.
Perlu diketahui, bahawa kisah diselamatkannya Musa AS bersama pengikutnya serta ditenggelamkannya Firaun dan bala tenteranya, terjadi pada hari yang kesepuluh dari bulan Muharram. Itulah hari yang kemudian dikenali dengan nama hari ‘Asyura. Hari tersebut merupakan hari yang diberi keutamaan dan dimuliakan sejak dahulu kala. Sehingga Nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana hadis yang disebutkan dalam Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim, bahawa Sahabat ‘Abdullah ibn Abbas radhiyallahu’ anhuma berkata:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوجد اليهود صيما يوم عاشوراء فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه? فقالوا: هذا يوم عظيم, أنجى الله فيه موسى وقومه وغرق فرعون وقومه فصامه موسى شكرا فنحن نصومه. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فنحن أحق وأولى بموسى منكم. فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم وأمر بصيامه.
Bahawasanya ketika masuk kota Madinah, Rasulullah SAW mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Maka Rasulullah SAW berkata kepada mereka: “Ada apa dengan hari ini sehingga kamu berpuasa padanya?” Mereka berkata: “Ini adalah hari yang agung, hari yang Allah selamatkan Nabi Musa dan kaumnya padanya serta Allah tenggelamkan Firaun dan tenteranya. Maka berpuasalah Musa sebagai bentuk rasa syukur dan kami pun ikut berpuasa padanya. “Maka Rasulullah SAW berkata:” Kalau demikian, kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu sekalian. “Maka berpuasalah Rasulullah SAW pada hari tersebut serta memerintahkan para shahabatnya untuk melakukan puasa pada hari itu. “(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dari hadis tersebut, kita mendapat pengajaran bahawa para nabi adalah orang-orang yang menjadikan kemenangan sebagai sesuatu yang patut disyukuri, iaitu dengan menampakkan bahawa kemenangan sebenarnya datang dari Allah SWT. Dan manusia adalah makhluk yang lemah serta memerlukan pertolongan Allah SWT sehingga mendorong dirinya untuk beribadat dengan ikhlas kepadaNya. Maka Nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut. Begitu pula Nabi kita Muhammad SAW. Sehingga tidak semestinya hari kemenangan itu dijadikan sebagai hari yang dirayakan untuk menampakkan kebanggaan atas kemampuan dan kekuatan bangsanya. Sehingga dirayakan dengan berpesta-pesta dan berfoya-foya. Atau dengan mengadakan acara-acara hiburan serta petunjukan-persembahan yang sarat dengan kemaksiatan. Namun semestinya hari tersebut mengingatkan akan kenikmatan Allah SWT sehingga mendorong untuk menjalankan dan menegakkan syariatNya.
Disebutkan di dalam Shahih Muslim, bahawa Nabi SAW ditanya tentang puasa’ Asyura, beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab:
يكفر السنة الماضية
“Puasa tersebut menghapus dosa satu tahun yang telah lalu.” (HR. Muslim)
Namun untuk mengelakkan dari menyerupai ibadah orang-orang Yahudi dan Nasrani, Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan pada umatnya untuk berpuasa pula pada hari sebelumnya. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam Muslim rahimahullahu dalam Shahih-nya dari Sahabat Ibnu ‘Abbas radhiyallahu’ anhuma bahawasanya beliau berkata:
حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه, قالوا: يا رسول الله, إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع. قال: فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa pada hari’ Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa pada hari tersebut, mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, hari ini (‘Asyura) merupakan hari yang diagungkan orang-orang Yahudi dan Nasrani. “Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata:” Jika aku menjumpai tahun yang akan datang, insyaAllah aku akan berpuasa pula pada hari yang kesembilannya. “Abdullah ibnu’ Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:” Namun sebelum datang tahun berikutnya, Rasulullah sudah wafat . “(HR. Muslim)
Dari hadis-hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa kaum muslimin disunnahkan untuk berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh pada bulan Muharram, hari yang dikenali dengan Tasu’a dan ‘Asyura. Bahkan sebahagian ulama menyebutkan disyariatkannya pula untuk berpuasa pada hari setelahnya iaitu hari yang kesebelas, dalam rangka menyelisihi orang-orang Yahudi dan Nasrani. Wallahu a’lam bish-shawab.
Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan taufiq-Nya kepada kita semua untuk melakukan puasa pada hari tersebut, dan mudah-mudahan kita akan mendapat keutamaan yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala janjikan.
Pesanan: Malam ini 16 Disember 2010, malam Jumaat di Al-Hikmah, kami akan adakan jamuan special selepas solat Isya’. Semua dijemput hadir.
Bryani Kambing

No comments:

Post a Comment